Pertempuran di Parit Sulong Pertempuran_Muar

Jambatan di Parit Sulong dalam tahun 1963

Pegawai Pemerintah batalion 2/19 Infantri Australia, Leftenan Kolonel Charles Anderson mengambil alih tampuk pimpinan dan mengarahkan semua askar berundur secra teratur ke Parit Sulong. Di sana, Pertempuran Parit Sulong berlaku, melibatkan pertempuran hebat di antara pasukan askar Australia dan askar Jepun.

Sementara Leftenan Kolonel Charles Anderson menunggu kemunculan sebuah unit Tentera India yang hilang, pasukan askar Australia bertembung dengan askar Jepun dari arah depan dan dari arah belakang. Kedudukan mereka terkepung, dan Leftenan Kolonel Charles Anderson mengarahkan pasukan Australia itu bertempur untuk melepaskan diri daripada kepungan askar Jepun. Usaha mereka berjaya, dan satu laluan diperolehi untuk membolehkan pasukan Australia itu melepaskan diri daripada kepungan.

Pada pagi 22 Januari 1942, pasukan askar Australia itu sampai di Parit Sulong, tetapi mendapati jalan mereka dihalang oleh satu pasukan askar Jepun. Pada ketika itu, ramai askar Australia dan India yang mendapat cedera ataupun terbunuh. Pasukan British (Bn 2 Loyals) yang dihantar untuk membantu mereka pula tidak muncul. Leftenan Kolonel Charles Anderson memberikan arahan supaya mereka yang masih berdaya untuk melarikan diri dalam kumpulan-kumpulan kecil melalui jalan-jalan kampung. Mereka yang cedera terpaksa ditinggalkan.

Hanya 271 orang askar daripada Batalion 2/19 dan 120 orang anggota Batalion 2/29 dapat melepaskan diri daripada kepungan askar Jepun tersebut – kurang dari satu perempat daripada bilangan yang ada semasa pertempuran di Muar. Untuk keberanian dan kepimpinannya, Leftenan Kolonel Charles Anderson diberikan anugerah Victoria Cross.